Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Wednesday, November 10, 2010

UiTM tubuh pasukan sukarelawan

KUALA KRAU 9 Nov. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pahang Kampus Bandar Jengka mengambil langkah proaktif menghantar satu pasukan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di Perlis dan Kedah minggu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak universiti itu, Muhammad Mohktar Samat berkata, UiTM Pahang menyahut saranan Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar supaya semua kampus cawangan seluruh negara membentuk pasukan sukarelawan bagi membantu mangsa banjir.

Sehubungan itu, Pengarah Kampus, Prof. Madya Datuk Dr. Hilmi Ab. Rahman telah menubuhkan satu jawatankuasa bertindak bagi membentuk pasukan tersebut.

Menurutnya, 40 anggota yang diketuai pelajar kampus itu, Raja Nor Weldan Shah bertolak ke Kedah dan Perlis dengan membawa beberapa keperluan seperti makanan dan minuman untuk mangsa di sana.

Menurut Muhammad Mohktar, ramai kalangan pelajar UiTM Pahang menawarkan diri untuk berbakti kepada masyarakat di sana tetapi ditolak atas pelbagai faktor.

''Bagaimana pun sumbangan dan perkhidmatan mereka sangat diperlukan dalam jangka masa terdekat ini sekiranya banjir melanda di negeri-negeri lain," katanya.

Tambahnya, pelajar yang tidak terpilih ke negeri terbabit diminta menjalani latihan seperti menyelamat di dalam air dan sebagainya sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh untuk negeri-negeri di Pantai Timur.

Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan banjir di Pantai Timur termasuk Pahang dijangka lebih besar berbanding tahun lalu berdasarkan fenomena banjir di beberapa negara seperti Thailand.

Tambahnya, pihak pengurusan UiTM Pahang berbangga dengan semangat kesukarelaan yang ditunjukkan para pelajar universiti itu untuk berbakti kepada masyarakat yang mengalami kesukaran menghadapi banjir.
- Utusan

Baguslah tu.. sama-sama membantu yang susah.. Gambate..

0 comments: