Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Saturday, February 13, 2010

UiTM Cipta Sistem Pesanan Makanan Dari Rumah

MACHANG, 10 Feb (Bernama) -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Machang telah mencipta satu sistem tempahan makanan dari rumah menerusi internet dikenali "Smart Order" yang dapat membantu dalam pemasaran produk industri kecil dan sederhana.

Ketua Pembangunan "Smart Order" itu, Mohd Idzwan Salleh, berkata menerusi sistem itu pengguna boleh membuat tempahan dari rumah bagi makanan dari restoran yang digemari serta boleh merangka perbelanjaan secara berhemah.

"Mereka boleh memilih menu dan menyemak harga bagi makanan yang disediakan itu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengusaha akan memenuhi pesanan itu dengan menghantarnya ke rumah mengikut alamat yang dinyatakan dalam pesanan Smart Order.

Mohd Idzwan berkata sistem itu dicipta selama enam bulan sejak tahun lepas oleh empat pensyarah yang pakar dalam bidang ICT bagi membantu pengusaha meluaskan lagi rangkaian perniagaan di samping memberi keselesaan kepada pelanggan.

Beliau berkata sistem itu dihasilkan dengan kos sebanyak RM10,000 termasuk membeli peralatan yang diperlukan bagi tujuan penyelidikan.

Katanya sistem itu sesuai digunakan di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Baharu dan Ipoh.

Mohd Idzwan pengusaha EDDLEE Fried Chicken di Kota Baharu merupakan pengusaha restoran pertama yang menggunakan sistem itu.

-- BERNAMA

Kira bagus inovasi yang dilaksanakan oleh pelajar UiTM bagi membantu IKS.. Sedikit sebanyak membantu menaikkan nama UiTM dimata dunia Read More...

UiTM berikrar penuhi hasrat PM

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) berikrar memastikan hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan institusi berkenaan menyediakan 5,000 tempat untuk pelajar miskin dan anak yatim setiap tahun menjadi kenyataan.

Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, ia penting kerana idea Perdana Menteri itu jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap nasib para pelajar miskin dan anak yatim.

"Melalui program ini kita dapat memberi peluang kepada anak-anak kaum bumiputera yang miskin untuk mendapat tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta berjaya dalam hidup mereka kelak," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri mencadangkan perkara tersebut semasa merasmikan Kampus UiTM Puncak Alam Fasa Satu di Shah Alam, semalam.

Menurut Najib, jika ia dapat dilakukan, 20,000 pelajar miskin terdiri daripada anak pekebun, anak yatim, nelayan dan anak kakitangan pembantu am rendah akan berpeluang belajar di IPTA.

Ketika ditanya apakah tindakan susulan UiTM, Sahol berkata, pihaknya akan mengadakan kempen di setiap negeri bagi mengenal pasti dan mencari calon yang bebar-benar layak.

"Kita sendiri akan mencari mereka (pelajar miskin) di seluruh pelosok negeri, manakala soal pengambilan dan penempatan di UiTM, kita tidak ada masalah," katanya.

Jelas beliau, jumlah pelajar yang dicadangkan oleh Perdana Menteri tersebut amat relevan dan tidak mendatangkan sebarang masalah terhadap UiTM untuk memenuhinya.

Tambah Sahol, UiTM sememangnya dalam usaha untuk meningkatkan pengambilan para pelajarnya daripada 130,000 sekarang kepada 200,000 pada tahun 2015.

"Kita mempunyai kakitangan yang cukup untuk kempen itu dan akan memastikan hanya yang benar-benar layak akan dipilih," katanya.

Katanya, kebanyakan pelajar miskin ini amat berpotensi jika diberikan peluang yang betul.

"Jika ada yang tidak cukup syarat kemasukan kita akan ambil juga tetapi akan diletakkan dalam program Kursus Peralihan selama enam bulan agar mereka berupaya meningkatkan syarat yang dikehendaki.

"Kita juga akan menumpukan kepada pelajar miskin lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tercicir ke dalam lulusan diploma dan setanding dengannya," katanya.

Menurut beliau, UiTM akan memberikan tumpuan secara individu terhadap setiap kes pelajar ini untuk memastikan mereka tidak tercicir.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang berkemampuan agar tidak mengambil kesempatan itu untuk 'menangguk di air yang keruh'.

"Kita ada cara dan sistem untuk mengenalpasti pelajar yang benar-benar miskin, tolong bagi peluang kepada golongan miskin untuk belajar tinggi seterusnya mengubah nasib keluarga mereka," katanya.

- Utusan

Harap begitulah hendaknya dan tercapailah hasrat Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan anak miskin mendapat tempat di UiTM.. Read More...