Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Saturday, June 18, 2011

UiTM, UEL tubuh pusat kewangan Islam

BAGI melebarkan sokongan terhadap keperluan pendidikan perniagaan Islam, Arshad Ayub Graduate Business School (AAGBS) bersama Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan University of East London (UEL), United Kingdom, baru-baru ini.

Persefahaman ini bertujuan menjalin kerjasama kedua-dua pihak dalam penawaran program siswazah peringkat sarjana dan doktor falsafah selain menubuhkan Pusat Kewangan Islam di Dubai.

Mereka turut memulakan program pembangunan profesional lanjutan dalam bidang kewangan dan perbankan Islam tidak lama lagi.

Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif UEL, Prof Patrick McGhee, berkata kerjasama itu membantu kedua-dua institusi menyediakan program perniagaan Islam bertaraf antarabangsa.


Beliau berkata, permintaan tinggi terhadap pendidikan perniagaan Islam membuktikan sektor itu mampu berkembang pantas bagi melahirkan golongan profesional yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu.

- HMetro

Read More...

Wednesday, June 8, 2011

80 mahasiswa UUM dan UiTM Arau sertai Program Bakti Siswa Perdana

PARIT BUNTAR 7 Jun - Seramai 80 mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis berkampung selama lima hari di Kampung Bagan Tiang di sini bersama keluarga angkat dalam Program Bakti Siswa Perdana baru-baru ini.

Pengarah Bakti Siswa UUM, Shazwi Abd. Razak berkata, matlamat utama program tajaan Bank Rakyat itu diadakan bagi merapatkan hubungan antara mahasiswa dengan penduduk setempat.

"Program ini menjadi platform kepada mahasiswa untuk menyelami adat dan budaya hidup masyarakat kampung yang kebanyakannya hanya bekerja sebagai nelayan, petani dan pekerja kilang.

"Selain itu, mereka turut membuat kajian mengenai beberapa isu setempat, negeri dan nasional bagi dicadangkan kepada pemimpin tempatan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Majlis perasmian Program Bakti Siswa Perdana itu disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Dato Abdul Raman Suliman di Sekolah Kebangsaan Sungai Megat Aris, Bagan Tiang di sini.

Penganjuran program tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Belia 4B Kawasan Parit Buntar serta Pejabat Penghulu Mukim Bagan Tiang.

Sementara itu, Pengerusi Gerak Wanis 4B Kawasan Parit Buntar, Amrina Saad yang juga merangkap Naib Pengerusi Wanita 4B Negeri Perak berkata, program tersebut dapat memastikan penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan secara berterusan.

Menurut beliau, ia penting bagi melahirkan ciri-ciri kepemimpinan mahasiswa yang berwawasan serta berintegriti selain mampu memberikan pendedahan ilmiah serta motivasi khususnya kepada anak-anak penduduk setempat untuk terus gigih belajar bersungguh-sungguh.

- Utusan

Read More...

Sunday, June 5, 2011

UiTM Meterai MoA Dengan Bumitra Malaysia Dalam Bidang Pelancongan

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia) untuk meningkatkan kerjasama berterusan dalam sektor pelancongan negara bagi manfaat kedua-dua pihak.

Presiden Bumitra Malaysia Mohd Ayub Hassan berkata menerusi perjanjian itu, kakitangan serta anggota persatuan itu yang terdiri daripada ejen-ejen pelancongan, akan mengikuti beberapa siri kursus pengurusan pelancongan di Fakulti Hotel dan Pengurusan Pelancongan di UiTM.

Beliau berkata kursus itu boleh memberi manfaat kepada peserta kursus terutama mereka yang berada di barisan hadapan dalam bidang pelancongan.

"Kursus bahasa Inggeris, Jepun, Mandarin serta Arab yang diajar melalui kursus pengurusan pelancongan ini juga dapat memudahkan mereka berinteraksi dengan pelancong dari negara berkenaan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menandatangani MoA bagi pihak Bumitra Malaysia manakala UiTM pula diwakili Naib Canselornya Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar di Hotel UiTM di sini.

Mohd Ayub berkata meskipun sebilangan anggota dan kakitangan Bumitra Malaysia mempunyai pengalaman hampir 20 tahun dalam bidang pelancongan, namun mereka perlu didedahkan mengenai asas dan kepentingan industri pelancongan di negara ini.

Beliau berkata ini memandangkan bidang pelancongan banyak bergantung kepada sumber manusia yang menjadi aset terpenting dalam industri berkenaan.

Melalui kursus itu, peserta akan mendapat pengetahuan asas mengenai agensi pelancongan, teknik jualan produk pelancongan serta mereka pakej pelancongan berskala sederhana dan mewah.

Sementara itu, Dr Sahol Hamid berkata kerjasama itu menjadi landasan kepada UiTM untuk menerima maklum balas daripada peserta untuk memperbaiki sukatan kursus pengurusan pelancongan sedia ada.

"Peserta yang mengikuti kursus ini terdiri daripada mereka yang berpengalaman luas dalam bidang pelancongan dan oleh itu, mereka bolehlah memberi sedikit input kepada tenaga pengajar UiTM untuk memperbaiki lagi sukatan kursus di samping menimba ilmu pengetahuan daripada kami," katanya.

Beliau berkata menerusi kursus itu, anggota serta kakitangan Bumitra Malaysia akan berpeluang mengetahui industri pelancongan secara lebih mendalam di samping menjadi seorang usahawan baik yang dapat membuat keputusan bijak. -BERNAMA

Read More...