Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Tuesday, September 27, 2011

Tawar peluang kedua

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) membuat tawaran kepada pelajar Bumiputera lepasan program asasi, kolej matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang gagal meneruskan pelajaran mereka ke peringkat ijazah sarjana muda melanjutkan pelajaran peringkat diploma di universiti berkenaan.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata tujuan penawaran itu untuk memberi peluang kedua kepada pelajar berkenaan kerana menyifatkan mereka golongan muda yang bijak selepas mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Namun, mungkin disebabkan ketika mengikuti program asasi dan matrikulasi mereka agak lalai, maka keputusan mereka tidak cemerlang sekali gus gagal menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.


“UiTM menawarkan peluang kepada pelajar yang masih berkeinginan menuntut di universiti ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam. Menurutnya, pelajar yang mendapat keputusan cemerlang selepas tiga semester pengajian akan diserapkan terus ke program peringkat ijazah sarjana muda. “Tujuannya memendekkan masa pengajian pelajar berkenaan bagi mendapatkan segulung ijazah. “Walaupun UiTM memberi peluang sebegini, kualiti pengajaran dan pembelajaran mereka akan sentiasa dipantau bagi memastikan diploma dan ijazah mereka terima kelak berkualiti tinggi,” katanya.

Bagi mereka yang berminat boleh menghantar surat rayuan kepada Pejabat Naib Canselor, Aras 6, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, Universiti Teknologi Mara, 40450 Shah Alam, Selangor. Rayuan mereka akan dipertimbangkan, dan sekiranya layak dan bersesuaian, mereka ditawar melanjutkan pelajaran di mana-mana kampus cawangan UiTM berdekatan di seluruh negara. Surat mesti mempunyai butiran peribadi seperti nama, alamat, nombor kad pengenalan, bidang pengajian diminati, serta dikepilkan salinan keputusan peperiksan SPM. Pemohon juga perlu mengepilkan salinan keputusan pengajian berkenaan seperti STPM, asasi, atau matrikulasi. Untuk memudahkan urusan pemilihan, mereka hendaklah menulis RAYUAN KE PROGRAM DIPLOMA di sudut kiri sampul surat berkenaan. Syarat rayuan hendaklah sampai pada atau sebelum 15 Oktober 2011 ini. Sekiranya mereka diterima masuk, pelajar akan mendaftar dan memulakan pengajian pada 16 November 2011 nanti.
- HMetro Read More...

Sunday, September 11, 2011

UiTM anjur Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2011 (PECIPTA 2011)

BUAT julung kalinya, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa 2011 (PECIPTA 2011), yang bakal mempamerkan 450 hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Program tiga hari anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi dan institut pengajian tinggi awam (IPTA), dijadual berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula 13 September ini.
Bertemakan `Menyemarak Inovasi Bersama Model Baru Ekonomi', PECIPTA 2011 bukan saja menjadi medan mempamerkan produk R&D, bahkan muncul sebagai lokasi strategik antara pengamal industri dan produk ciptaan berkualiti daripada penyelidik tempatan.
Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata aktiviti adalah satu pelan tindakan yang terkandung dalam Pelan Strategik Pendidikan Negara.

Katanya, ia selaras teras kedua Agenda Pembangunan Negara yang direncanakan dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi melalui produk inovasi.

"Kita bukan saja menumpukan kepada pameran produk inovasi IPT, bahkan membuka ruang pembabitan peserta dari sekolah menengah. PECIPTA 2011 juga menyediakan ruang kepada pihak industri dan penyelidik melalui sesi Pemadanan Perniagaan," katanya pada sidang media di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perancangan Kecemerlangan IPT Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Dr Mohd Jailani Mohd Nor dan Timbalan Naib Canselor (Pendidikan dan Inovasi) UiTM, Prof Dr Zaini Abdullah.
Sahol Hamid berkata, sebanyak 25 IPTA dan 15 sekolah sudah menyatakan persetujuan untuk menyertai pameran kali ini.

Katanya, UiTM akan memperkenalkan satu kategori baru pada persidangan kali ini iaitu Newly Marketed Product (NM).

"Ia akan menjadi wadah kepada penyelidik untuk mempamerkan hasil ciptaan mereka yang telah dikomersialkan di dalam pasaran tempatan atau luar negara. Syarat untuk kategori ini ialah produk terbabit mesti telah berada di pasaran tidak lebih dua tahun," katanya.

Selain pertandingan dan pameran, katanya, simposium bertajuk `Mencari Ekosistem Utuh Untuk Inovasi' membabitkan panel pakar dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan Malaysia juga akan diadakan.

Pameran dwi tahunan itu turut mendapat pelbagai penajaan daripada beberapa badan korporat seperti Bank Islam dan Pusat Pembangunan Reka Bentuk (DDEC).
- BHarian Read More...