Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Tuesday, July 7, 2009

Percubaan pelajar UiTM tawan Selat Inggeris

Pelajar UiTM sedang cuba untuk menawan Selat Inggeris namun percubaannya gagal...


Zahra tekad

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR


KUALA LUMPUR 4 Julai - Selepas percubaan pertamanya untuk 'menakluki' Selat Inggeris gagal semalam, perenang muda negara, Zahra Masoumah Abdul Halim, 18, tekad untuk kembali melakukannya selewat-lewatnya empat tahun lagi.

Pelajar jurusan Sains Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, walaupun kecewa dengan kegagalan kelmarin, dia terpaksa akur memandangkan jumlah tajaan yang diperolehinya untuk misi berkenaan hanya sekitar RM100,000.

Menurutnya, jumlah sebanyak itu tidak memungkinkan dia dan jurulatihnya, Arof Omar untuk tinggal lebih lama di United Kingdom justeru gagal untuk melakukan percubaan kedua serta seterusnya.

"Berbanding perenang-perenang seluruh dunia yang pernah berenang dari Dover (United Kingdom) ke Calais (Perancis) sebelum ini, mereka mempunyai dana yang banyak serta melakukan beberapa percubaan sebelum berjaya.

"Malahan saya diberitahu, jumlah tajaan yang saya terima hanyalah 10 peratus daripada yang diterima perenang marathon negara, Datuk Abdul Malik Maidin semasa beliau melakukannya (merentas Selat Inggeris)," katanya.

Dia berkata demikian ketika dihubungi di dalam karavan penginapannya di Kent, United Kingdom, semalam.

Menceritakan pengalamannya sewaktu berenang, Zahra menjelaskan, dia hanya sempat memakan biskut serta minum dari botol yang dihulurkan bapanya dari atas bot pengiring pada setiap satu jam.

Jelasnya, walaupun bersemangat dan berupaya meneruskan renangan, dia terpaksa akur dengan arahan Paul Foreman, pemerhati dari 'Channel Swimming and Piloting Federation' (CSPF) yang memintanya agar berhenti melakukan renangan.

CSPF merupakan badan bertanggungjawab menjaga prosedur keselamatan para perenang yang ingin merentasi Selat Inggeris.

"Walaupun Paul tahu saya masih berupaya, dia tetap meminta saya berhenti kerana renangan saya hanya sia-sia dan memerlukan sekurang-kurangnya 12 jam lagi untuk sampai ke Calais, itupun tiada jaminan.

"Ketika itu, saya telah berenang selama 12 jam setengah, perairan Inggeris tidak seperti perairan negara kerana waktu pasang dan surutnya langsung tidak boleh dijangka," katanya hampa.

Menerusi kenyataan CSPF, kata Zahra, hanya beberapa orang sahaja yang berupaya melakukan renangan dari Dover ke Calais dengan sekali percubaan.

Katanya, ia banyak bergantung kepada faktor nasib memandangkan keadaan perairan yang tidak menentu selain mengakui faktor kehebatan seseorang perenang.

"Saya akan pulang ke Malaysia pada 9 Julai ini dan mempersiapkan diri merentasi Selat Melaka dari Sumatera ke Port Dickson pula selepas ini bersama adik (Salman). Saya berikan sehingga empat tahun lagi sebelum kembali menawan Selat Inggeris," ujarnya.

Jika percubaannya berjaya kelmarin, Zahra sepatutnya muncul sebagai wanita Islam pertama berenang merentasi Selat Inggeris, namun ombak setinggi 1.5 meter serta arus deras yang menolaknya ke Belanda menafikan cubaan itu.

Zahra dan adiknya Salman pernah hampir memecahkan rekod Abdul Malik apabila berjaya berenang dari Langkawi ke Kuala Perlis sejauh 43 kilometer dalam masa 14 jam, dua tahun lalu.



Walaupun gagal diucapkan tahniah kepada beliau.. Semoga beliau tetap bersemangat .

0 comments: