Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Tuesday, February 22, 2011

cawangan terbaru UiTM melaka Jasin...


NAJIB Tun Razak melihat bagaimana bumbung rumah salah seorang penduduk di Kampung Lipat Kajang, Jasin dibaiki selepas menerima sumbangan daripada 1Malaysia Development Berhad. – Bernama
JASIN 19 Feb. – Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor membuat keputusan tidak bijak apabila menolak projek pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sebidang tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah, Selangor pada 2009.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan itu merugikan penduduk di Hulu Selangor dan yang mendapat rahmatnya kini adalah penduduk di Seri Mendapat di sini ekoran pembinaan kampus baru di tanah seluas 218 ekar itu.

“Kerajaan Selangor tidak bijak kerana menolak rezeki tetapi sebaliknya orang Melaka khususnya di Seri Mendapat mendapat untung dengan pembinaan UiTM Melaka Kampus Jasin yang baru.

“Keputusan yang diambil oleh kerajaan pembangkang itu bermotif politik kerana sanggup menzalimi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), sebuah yayasan untuk membantu orang miskin dan anak-anak yatim.

‘‘Tetapi kita nak tunjukkan kebenaran bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) membela rakyat dan pelajar UiTM,” ujarnya.

Beliau berucap pada majlis perasmian mula kerja di tapak projek UiTM Melaka Kampus Jasin dan pertukaran dokumen perjanjian pinjaman antara YBK Usahasama Sdn. Bhd. dengan Bank Pembangunan Malaysia Berhad di Seri Mendapat di sini, hari ini.

Turut hadir Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar dan Pengerusi YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom.

Kampus baru UiTM Melaka cawangan Jasin dibina di atas tanah seluas 218 ekar di Mukim Semujuk daerah Jasin di sini menempatkan satu kompleks yang boleh menampung kapasiti pelajar berjumlah 5,000 orang.

Projek pembinaan kampus bernilai RM297 juta itu bakal menempatkan tiga buah fakulti iaitu Sains Gunaan, Pengurusan Ladang serta Sains Komputer dan Matematik yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sejak penubuhan UiTM pada 1967, seramai 400,000 graduan dilahirkan, manakala 180,000 masih menuntut di universiti berkenaan di seluruh negara.

Beliau menambah, bekas graduan daripada universiti berkenaan kini masing-masing memegang jawatan tinggi sama ada di sektor awam atau swasta manakala sebahagian daripadanya menjadi tenaga profesional.

Ujarnya, kalau dikaji latar belakang bekas graduan UiTM, mereka terdiri daripada keluarga miskin, petani, nelayan, penoreh getah dan pembantu am rendah tetapi hari ini mereka berjaya menjawat jawatan tertinggi.

“Ini semua dilakukan kerana kita percaya kalau nak mengubah untung nasib sesebuah bangsa, senjata paling berkesan sekali adalah melalui pendidikan dan ini telah kita buktikan sebagai satu kenyataan,” ujarnya.

daripada BERNAMA

1 comments:

the faceblog said...

ROAD TOUR DARIPADA THE FACEBLOG. KAMI MENGALU-ALUKAN ANDA UNTUK MENYERTAI KOMUNITI KAMI.TQ

maklumat lanjut,sila tekan "THE FACEBLOG"