Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Wednesday, September 23, 2009

UiTM Tawar Program Perubatan dengan IPT luar

KUCHING, 23 Sept (Bernama) -- Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak akan mengadakan program perubatan serta pertanian bersepadu dengan kerjasama beberapa universiti luar negara, terutamanya di Indonesia, dalam menyediakan tenaga kerja sesuai bagi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

Pengarah kampus UiTM Sarawak Prof Madya Dr Jamil Hamali berkata satu memorandum persefahaman (MOU) dijangka ditandatangani di peringkat pusat dengan universiti tertentu di Bogor dan Bandung, yang pengajiannya diiktiraf dunia, pada hujung tahun ini.

"Melalui bidang pertanian moden, UiTM Sarawak akan meminjam kepakaran mereka (Indonesia) untuk ditempatkan di kampus Kota Samarahan di sini, yang telah menyediakan sebuah makmal penyelidikan, manakala pelajar cemerlang akan dihantar untuk meneruskan pengajian di sana dalam peringkat tertentu," katanya kepada pemberita pada rumah terbuka Hari Raya beliau di sini Rabu.

Beliau berkata walaupun UiTM menawarkan bidang perubatan namun tempat yang disediakan tidak mencukupi dan kerjasama tersebut memberi peluang kedua kepada anak tempatan untuk mengikutinya di luar negara selepas melulus pengajian diploma Sains di UiTM.

Dalam membantu kerajaan negeri, katanya UiTM Sarawak turut mengadakan program yang berkaitan dengan persediaan untuk melaksanakan projek di bawah Score, termasuk farmasi serta kejuruteraan kimia, sivil dan elektrikal.

Dr Jamil berkata UiTM Sarawak akan membina sebuah kampus tambahan di tapak seluas 200 hektar yang diluluskan oleh kerajaan negeri di Mukah untuk memberi peluang kepada kaum Bumiputera setempat seperti dari Sibu, Bintulu, Miri, Limbang dan Belaga mengikuti pengajian mereka.

Kampus Mukah, yang terletak di kawasan Score, kini mempunyai 300 pelajar dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung yang sedang mengikut pengajian dalam bidang Industri Peladangan, katanya.

Selain itu, beliau berkata turut dirancang ialah pembinaan kampus di tapak seluas 40 hektar di hadapan kawasan sedia ada di Kota Samarahan bagi menampung 10,000 pelajar menjelang 2015.

Beliau berkata pembinaan infrastruktur untuk pelan pembangunan kampus induk UiTM Sarawak dijangka dimulakan pada November ini melalui inisiatif pembiayaan swasta.

UiTM Sarawak, yang menawar 23 jenis program, kini mempunyai 5,000 pelajar.


-- BERNAMA

Bagus lah tu.. Walaubagaimanapun diharap UiTM Sarawak akan terus berusaha dalam membangunkan kampus induk.