Showing posts with label Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar. Show all posts
Showing posts with label Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar. Show all posts
Tuesday, June 12, 2012
UiTM sedia bekerjasama dengan pemenang hadiah Nobel dalam bidang perubatan
SHAH ALAM - Universiti Teknologi MARA (UiTM) bersedia untuk bekerjasama dengan pemenang Hadiah Nobel 1998 kategori Fisiologi dan Perubatan, Prof Ferid Murad terutamanya dalam bidang berkaitan kajian perubatan.
Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata kepakaran Murad telah diiktiraf di peringkat tertinggi dan kunjungannya pada hari ini merupakan penghormatan kepada universiti itu.
"Warga UiTM berbangga kerana menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang menerima kehadiran Prof Murad, lebih-lebih lagi beliau turut menyampaikan syarahan pagi ini dan berkongsi pengalamannya dengan hadirin.
"Prof Murad juga akan mengadakan pertemuan dengan penuntut Perubatan UiTM esok untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman beliau dalam bidang perubatan sekaligus memberikan motivasi terbaik kepada penuntut untuk menjadi penyelidik yang berwibawa," katanya dalam sidang media selepas Syarahan Nobel Journey of a Laureate Prof Ferid Murad di sini hari ini.
Sahol Hamid berkata pengalaman yang dikongsikan oleh Murad juga diharapkan menjadi suntikan semangat dalam usaha melahirkan pemenang Hadiah Nobel Malaysia yang dilahirkan dari UiTM.
"Kita mempunyai satu program khas 'Road Map to Nobel Prize', jadi kita harap syarahan pada hari ini antara pengalaman yang boleh digunakan bagi membantu impian UiTM ini," katanya.
Sementara itu, Murad berkata lebih banyak kajian dan penyelidikan perlu dilakukan dalam usaha mengenalpasti penawar bagi pelbagai penyakit yang muncul dalam era moden hari ini.
"Semua pihak boleh bekerjasama termasuk universiti dan industri untuk menjalankan kajian dalam bidang perubatan ini," katanya.
Antara penyelidikan utama Murad dalam bidang perubatan ialah menemui bahawa nitrix oxide bertindak sebagai isyarat molekul dalam sistem kardiovaskular di mana ia turut membawa kepada penemuan bagaimana mekanisme saluran darah mengembang dan stabil.
Penemuan itu juga membawa kepada penghasilan dadah Viagra yang digunakan untuk merawat masalah berkaitan anggota seks.
Murad kini sedang dalam proses menghasilkan tiga penyelidikan dalam bidang perubatan termasuk biologi dan biokimia berkaitan sel kanser. - Bernama
Read More...
Subscribe to:
Posts (Atom)