Friday, May 18, 2012
UiTM Tubuh Persatuan Anak Polis Bantu Tangani Isu Jenayah
SHAH ALAM: Universiti Teknologi MARA(UiTM) akan menubuhkan Persatuan Anak-Anak Polis yang berperanan sebagai mata dan telinga pasukan keselamatan itu dalam menangani isu berkaitan jenayah.
Naib Canselornya, Datuk Prof Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata persatuan itu bertujuan mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selamat dengan mengekang jenayah di seluruh negara, khususnya di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
"Persatuan ini akan dilancarkan selewat-lewatnya akhir bulan depan, dan pada peringkat permulaan, kita menyasarkan penuntut Uitm yang terdiri daripada anak-anak polis untuk menganggotai persatuan ini. "Apabila adanya persatuan ini, kita mahu anak-anak polis membantu pasukan polis dalam menangani isu-isu jenayah kerana mereka ini ada pengalaman dan telah melihat sendiri bagaimana susahnya ibu dan bapa mereka bertugas menjaga keamanan negara," katanya selepas merasmikan program Mahasiswa Uitm Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, Jumaat.
Beliau berkata selain membantu polis menangani isu jenayah, persatuan itu akan digunakan sebagai platform bagi anak-anak polis berkongsi pengetahuan akademik, idea dan pelbagai kemahiran yang mereka miliki. Sementara itu, ketika diminta mengulas penahanan seorang penuntut Uitm iaitu Khalid Mohd Ismath, 22, bagi membantu siasatan polis berhubung perhimpunan haram di ibu negara pada 28 April lepas, Sahol berkata pihaknya boleh memecat penuntut terbabit sekiranya dia didapati bersalah.
"Pihak universiti masih menunggu hasil siasatan (polis), dan jika sememangnya terdapat bukti pelajar kami terlibat dengan perkara yang melanggar undang-undang negara, tindakan tegas akan diambil termasuk membuang penuntut ini.
"Ini kerana kita melihat perbuatan itu bukan sahaja mengancam keselamatan negara tetapi juga mengancam keselamatan anggota polis yang bertugas ketika itu," katanya. -BERNAMA
Read More...
Yang Di-Pertuan Agong dimasyhurkan sebagai Canselor UiTM ke-4
Istiadat Pemasyhuran DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Mu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah sebagai Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang keempat telah berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam, pada 12 Mei 2012.
Perlantikan Seri Paduka Baginda adalah mengikut Seksyen 19A (2), Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173), yang menyebut Yang Dipertuan Agong secara langsung akan dilantik sebagai Canselor UiTM sepanjang tempoh pemerintahannya.
Pemasyhuran yang turut dihadiri oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah itu, disempurnakan dengan bacaan watikah dan penyerahan watikah perlantikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
Istiadat Konvokesyen ke-76 juga berlangsung pada hari yang sama sebaik tamat istiadat pemasyhuran. Sidang pertama di UiTM Shah Alam melibatkan 1,030 graduan, yang terdiri daripada 40 graduan Doktor Falsafah dan 990 graduan Sarjana. Penganugerahan ijazah telah disempurnakan oleh DYMM Tuanku Canselor UiTM yang baru.
Secara keseluruhannya, seramai 16,326 graduan menerima ijazah masing-masing pada istiadat konvokesyen kali ini. Selain daripada UiTM Shah Alam, istiadat konvokesyen juga berlangsung di semua kampus autonomi UiTM, iaitu, UiTM Perak, UiTM Perlis, UiTM Terengganu dan UiTM Sarawak.
- Website UiTM
Read More...
Subscribe to:
Posts (Atom)