Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Monday, May 21, 2012

UiTM sedia tawar tempat kepada pelajar yang gagal ke IPTA

JELI - Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia menawarkan tempat kepada pelajar yang gagal melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dipilih, melalui satu program khas 'Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia' yang diadakan di seluruh negara. Naib Canselornya Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata menerusi program itu yang diadakan di sembilan buah negeri setakat ini, universiti berkenaan menawarkan hampir 4,000 tempat kepada pelajar yang memenuhi syarat minimum kemasukan. "Kita sedia tawarkan 10,000 tempat bagi pelajar mengikuti pengajian di peringkat pra diploma selama 16 minggu terlebih dahulu di kampus cawangan UiTM seluruh negara. "UiTM dengan kerjasama Gerakan Destini Anak Bangsa akan turun padang melihat pelajar yang tidak mendapat tempat bagi melanjutkan pelajaran ke IPTA dan mencari dan membantu mereka dalam kalangan keluarga miskin yang tidak mampu membiayai pengajian," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran kemasukan ke UiTM dan sesi taklimat kemasukan menerusi program Jelajah Destini Anak Bangsa 1Malaysia, yang disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di Pondok Moden Jeli, di sini, hari ini. Sahol Hamid berkata program itu juga selaras dengan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu UiTM menjelajah ke setiap pelusuk termasuk di luar bandar bagi membantu anak-anak bangsa supaya tidak ketinggalan dalam bidang pendidikan. Beliau berkata program itu juga adalah untuk menyampaikan aspirasi kerajaan bagi memberi peluang kedua kepada pelajar dan membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian. "Program ini akan diperluaskan termasuk ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh terdekat," katanya. Beliau berkata kerajaan sedar peluang untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi semakin sengit dan atas beberapa faktor menyebabkan pelajar yang tinggal di luar bandar tercicir. "Dengan adanya program ini, mereka berpeluang meneruskan pengajian di UiTM dan memilih bidang pengajian yang sesuai di peringkat diploma dan seterusnya ke peringkat ijazah," katanya. - Bernama

1 comments:

Anonymous said...

Salam... Nak tanya... Bila tarikh akhir permohonan ni?? Kalau tarikh permohonan dah di tutup.. Bila tarikh permohonan akan keluar lagi???