Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Thursday, March 29, 2012

UNiSZA, UiTM Kuantan juara debat

KUANTAN: Pengalaman menjadi kelebihan kepada Universiti Sultan Zainal Abidin (UNiSZA) untuk muncul juara kategori bahasa Melayu pertandingan debat Piala Pantai Timur di Dewan Utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) kampus Kuantan, baru-baru ini.

Pertandingan julung kali anjuran Kelab Bahasa Melayu IIUM dengan kerjasama universiti berkenaan disertai 26 pasukan yang mewakili 10 universiti di Pantai Timur termasuk lima sekolah menengah terpilih menawarkan hadiah wang tunai dan piala pusingan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata penuntut pusat pengajian tinggi di negara ini digalakkan terbabit dengan aktiviti seperti debat, pidato dan forum yang dapat meningkatkan minda golongan remaja.

"Kerajaan menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan kepada pihak universiti bagi menganjurkan pertandingan seperti debat, pidato dan forum sebagai usaha sokongan kepada penganjuran yang dapat meningkatkan minda.

"Saya yakin dengan adanya program seperti ini dapat mencungkil bakal penuntut berhujah di depan penonton sambil menyuarakan isi hati masing-masing," katanya dalam majlis penyampaian hadiah debat berkenaan.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kampus IIUM, Prof Dr Muhammad Noor Omar.

Peserta UNiSZA, Wan Zanuddin Ali Aspar, berkata pengalaman dan persiapan secara berpasukan sebelum menyertai pertandingan itu menjadi kelebihan kepada mereka untuk muncul juara kategori bahasa Melayu.
"Pengalaman menyertai pertandingan debat peringkat negeri dan universiti seluruh negara sebelum ini digunakan sepenuhnya untuk kami menyekat hujah peserta UiTM Jengka selaku pembangkang.

"Saya bersyukur dengan kejayaan ini yang diharap menjadi pendorong kepada lebih ramai lagi penuntut UNiSZA terbabit dengan aktiviti debat yang berupaya mencambahkan lagi minda," katanya yang muncul pendebat terbaik pertandingan akhir.

Beliau berkata, selepas kejayaan itu pasukannya akan mengadakan persiapan bagi menyertai pertandingan debat Diraja anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) bulan depan.

Sementara itu, kategori bahasa Inggeris berpihak kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kuantan yang diwakili Jainah Jaafar, Aifa Azmi dan Nurhanan Kamalia berjaya menewaskan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk membawa pulang hadiah RM800 dan piala, manakala naib johan menerima RM500 dan piala.

Ketua pasukannya, Aifa yang juga muncul pendebat terbaik pertandingan akhir berkata, persiapan selama seminggu menjadi bekalan menyertai pertandingan kali ini yang akan menjadi landasan menguji kebolehan masing-masing.

Beliau berkata, tajuk perbahasan `Mahasiswa berpolitik meningkat nilai kepimpinan' menjadi kelebihan kepada mereka selaku pencadang mengutarakan pelbagai hujah bernas yang gagal disangkal pihak pembangkang.

"Kami berpuas hati sasaran penyertaan hanya untuk melangkah ke peringkat separuh akhir, namun sebaliknya apabila bersaing pada peringkat akhir seterusnya berjaya dinobatkan sebagai juara kategori bahasa Inggeris.

"Kejayaan di luar dugaan ini bukan saja menggembirakan kami selaku peserta, tetapi juga turut dapat meningkatkan imej UiTM di mata masyarakat," katanya.
- Bharian

Tahniah kepada UiTM Kuantan yang mengharumkan nama UiTM.

0 comments: