Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Wednesday, October 6, 2010

UiTM lancar program Jom Berbasikal kurangkan pencemaran alam sekitar

IPOH 5 Okt. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak melancarkan program Jom Berbasikal sebagai satu usaha mengurangkan pencemaran alam sekitar selain mengamalkan gaya hidup sihat.

Pengarah Kampus UiTM, Prof. Dr. Zainab Mohamed berkata, program tersebut diharap bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan tempat letak kereta di kawasan kampus tetapi juga menggalakkan budaya berbasikal di universiti.

"Budaya berbasikal terkenal di negara China terutamanya di institusi pengajian tinggi (IPT) dan bandar-bandar besar seperti Peking dan Shanghai yang kurang deruman enjin kenderaan bermotor.

"Program yang dianjurkan oleh Kelab XC-Riders UiTM ini wajar diteruskan memandangkan IPT lain seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) sudah mula menggalakkan mahasiswa untuk berbasikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Pelancaran Jom Berbasikal UiTM Perak yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Mohd. Fisal Ishak di sini semalam.

Zainab yang turut sama menyertai konvoi berbasikal mengelilingi kampus sebelum itu melakukan aktiviti regangan senamrobik di padang.

Dalam pada itu, beliau berkata, UiTM Perak merancang untuk menyediakan ruang tempat letak basikal bagi kegunaan mahasiswa berhampiran bangunan universiti.

Beliau berharap basikal yang bakal disediakan pihak universiti, akan dapat diguna semula oleh generasi mahasiswa pada masa akan datang.

"Kalau boleh kita mahu hanya staf sahaja yang berkenderaan sementara mahasiswa berbasikal," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, ketika ini, UiTM Terengganu dan Johor sudah mula menjadikan aktiviti berbasikal sebagai satu budaya di kampus.

Katanya, ia bersesuaian dengan dengan bentuk muka bumi kedua-dua kampus tersebut yang rata dan selamat untuk berbasikal.
- Utusan

0 comments: