Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Thursday, April 22, 2010

UiTM Kelantan sasar 2,000 penuntut

KOTA BHARU 16 April - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan menyasarkan pengambilan lebih 2,000 penuntut bagi sesi pengajian di dua kampus universiti itu Julai ini.

Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Hussin Ab. Rahman berkata, pengambilan itu meningkat lebih 100 peratus dan bakal menjadikan jumlah penuntut yang ditampung dua kampus itu kepada kira-kira 6,000 orang.

Katanya, setakat ini terdapat 4,200 penuntut ditempatkan di Kampus Machang dan 1,000 orang di Kampus Bandar di sini.

''Jumlah pengambilan dipertingkatkan berdasarkan kepada sambutan pelajar terhadap lebih 16 program popular yang ditawarkan," katanya semasa berucap merasmikan Majlis Pra-Graduan UiTM Kelantan di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Muhammad Shukri Salleh; Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Akademik dan Pengantarabangsaan, Profesor Madya Zulkarnain Yusoff dan Timbalan Pengarah Kampus Penyelidikan dan Jaringan Industri, Profesor Madya Nik Kamaruzaman Abdulatiff.

Hussin memberitahu, jumlah pelajar yang ditampung dalam satu-satu masa akan dipertingkatkan kepada 10,000 orang menjelang 2015 seiring dengan langkah pembesaran kampus Machang dan kewujudan sebuah kampus cawangan kelak.

Beliau juga memberitahu, dalam proses perkembangan itu buat pertama kalinya seorang penuntutnya berpeluang membuat latihan praktikal di London selama enam bulan.

Katanya, penuntut itu mendapat dana dari Tabung Mobiliti pelajar yang memperuntukkan sebanyak RM2 juta.

''Kejayaan itu membuktikan setiap pelajar mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi jika mereka mempunyai kemahuan," katanya.

Sementara itu dalam majlis tersebut, seramai 16 penuntut menerima anugerah bagi bidang pengajian masing-masing.

Pelajar terbaik keseluruhan (ijazah sarjana muda) disandang oleh Mohd. Hasbullah Mohd. Sazali dan pelajar terbaik keseluruhan (diploma) ialah Nursyahidah Rosli.

Nursyahidah yang merupakan penuntut Program Pengajian Statistik semasa ditemui berkata, dia tidak menyangka menerima anugerah terbaik keseluruhan kerana ramai lagi rakan-rakan yang cemerlang dalam bidang tersebut.

Pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) itu bercita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah dan bekerja dalam bidang insurans dan pelaburan.

- Utusan



0 comments: