Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Friday, March 26, 2010

UiTM perlu cemerlang

KUALA PILAH 25 Mac - Dua cabaran utama perlu dihadapi Universiti Teknologi Mara (UiTM) demi memastikan masyarakat bumiputera mampu keluar daripada kepompong kemiskinan, memajukan diri serta menjadi penggerak kemajuan bangsa dan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cabaran itu ialah mengekal dan meningkatkan tahap kecemerlangan akademik universiti bagi melahirkan graduan yang berkualiti tinggi.

Kedua, memastikan universiti ini terus berada di landasan yang sebenar iaitu menawarkan pendidikan tinggi berkualiti kepada masyarakat bumiputera.

Kata beliau, UiTM perlu memberikan khusus dalam menjana modal intelektual melalui pemantapan aktiviti penyelidikan, pengukuhan budaya inovasi, peningkatan mutu penulisan dan penerbitan akademik.

''Aspek penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran juga hendaklah diberikan tumpuan," kata beliau sewaktu berucap merasmikan kampus tetap UiTM Negeri Sembilan di Beting, dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Naib Canselor UiTM, Datuk Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Kampus UiTM Negeri Sembilan, Prof. Madya Zaluddin Sulaiman.

Muhyiddin menjelaskan, ahli akademik juga perlu digalakkan untuk terlibat dalam bidang penyelidikan berimpak tinggi untuk memperkayakan khazanah ilmu dan meningkatkan profail universiti di peringkat serantau dan antarabangsa.

''Untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan, UiTM boleh menawarkan program bukan tradisional khususnya dalam bidang sains dan teknologi yang berpotensi untuk berkembang maju pada masa hadapan," jelas beliau.

Dalam aspek cabaran kedua itu pula, Muhyiddin menegaskan, pendidikan yang ditawarkan hendaklah berkemampuan memastikan masyarakat bumiputera dapat bersaing secara adil dalam pelbagai sektor ekonomi.

''Seluruh warga UiTM perlu mendorong aspirasi universiti ini sebagai pencetus dan penggerak kemajuan bangsa," jelas beliau.

Muhyiddin juga mahu UiTM menghasilkan modal insan berkemahiran tinggi untuk memenuhi pasaran kerja yang semakin kompetitif, memandangkan ketika ini UiTM merupakan universiti yang terbesar di dunia dengan 136,900 pelajar dan 26 buah kampus cawangan seluruh negara.

''Sepanjang berada dalam arena pendidikan negara, UiTM telah berjaya melahirkan para profesional dan teknokrat bumiputera yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan bangsa dan pembangunan negara.

''Ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan institusi pengajian tinggi sebagai mekanisme untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan menjayakan pembangunan negara yang holistik dan mapan," tegas Muhyiddin.

Kampus UiTM berkonsepkan 'Kampus Hijau' ini mula dibangunkan pada 13 Mac 2007, manakala majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 23 Ogos 2007.

UiTM yang dibina di atas tanah seluas 32.37 hektar ini menawarkan lapan program iaitu dua di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan lima peringkat diploma.

Program itu ialah Ijazah Sarjana Muda Sains Biologi dan Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi dan Pengurusan Perladangan; Diploma Teknologi Makanan, Diploma Mikrobiologi, Diploma Teknologi Tekstil dan Diploma Pengurusan Perladangan serta Pra- Diploma Sains.

Kesemua ijazah dan diploma ini adalah dari Fakulti Sains Gunaan UiTM.

Muhyiddin menambah, pembukaan kampus tetap UiTM Negeri Sembilan itu jelas membuktikan satu lagi komitmen kerajaan dalam memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

''Pembinaan kampus ini memberi mesej yang jelas bahawa dalam apa juga projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan, matlamat akhirnya adalah untuk memberikan kesenangan dan kemudahan kepada rakyat.

''Graduan yang dilahirkan oleh universiti ini merupakan aset penting dalam menentukan hala tuju negara pada masa akan datang," tegas beliau.

Pada majlis itu juga Muhyiddin turut mengumumkan supaya sebuah dewan dan kompleks sukan dibangunkan di kampus tetap berkenaan.
- UTusan 26.3.2010

Baguslah tu. Dah lama rasanya Negeri Sembilan menunggu untuk kampus tetapnya.. Berbanding negeri lain yang telah lama mempunyai kampus tetap, Negeri Sembilan terpaksa mempunyai kampus sementara..

Saranaan TPM juga patut diambil berat oleh UiTM samada kakitangan,pelajar dan juga alumni bagi memastikan UiTM terus maju dipersada dunia..

0 comments: