Blog Widget by LinkWithin
Terima kasih kerana datang ke blog ini. Blog ini sekadar perkongsian maklumat.. Kami tidak mempunyai hubungan secara langsung dengan pihak UiTM... Sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat penting sila hubungi http://uitm.edu.my

Friday, October 30, 2009

UiTM Pahang azam lahir jaguh memanah


MARAN 29 Okt. - Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang di sini berazam menjadi institusi terulung melahirkan jaguh sukan terutama dalam acara memanah.

Pengarahnya, Profesor Madya Dr. Hilmi Ab. Rahman berkata, tekad itu sejajar kepercayaan Majlis Sukan Negara (MSN) kepada UiTM Pahang untuk melaksanakan program pelapis pemanah.

Menurutnya, UiTM Pahang merupakan satu-satunya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini yang diberi tanggungjawab tersebut.

"Misalnya dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Terengganu baru-baru ini, majoriti kontinjen memanah Pahang diwakili atlet UiTM Pahang yang menyumbang kutipan pingat emas kepada negeri ini.

"UiTM Pahang merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara yang memberi penekanan terhadap pendidikan intelek, jasmani dan emosi selari dengan bidang sukan, agama, khidmat masyarakat dan kenegaraan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas pelancaran program Diploma Pengajian Sukan (SR113) Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Pahang di sini kelmarin.

Program Diploma Pengajian Sukan itu disempurnakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak dan Naib Canselor UiTM, Tan Sri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah.

Menurut Hilmi, jurusan sains sukan perlu diperkenalkan kepada masyarakat kerana melalui pembelajaran itu ia dapat memperkenalkan teknologi terkini bagi peningkatan prestasi atlet.

Tambahnya, sains sukan merupakan salah satu cabang yang mengkaji respons manusia terhadap aktiviti fizikal merangkumi kinesiologi, biomekanik, anatomi dan fisiologi.

"Di samping itu aspek pemakanan, pengurusan sukan, sosiologi dan psikologi dalam sains sukan turut diberi penekanan supaya meningkatkan kecergasan dan prestasi,'' katanya.


- Utusan


Wah bagus lah tu.. Ada sukan yang ditarget oleh UiTM kampus.. Semoga UiTM Pahang mampu melahirkan ahli sukan bertaraf antarabangsa. Selaku bekas pelajar UiTM Pahang aku pun tumpang bangga lah juga.. Cayalah

0 comments: